2/07/2010

SEPAHIT MADU ....... SEMANIS HEMPEDU

“Abang nak pi mana bang?” tanya Munirah kepada suaminya sambil tangannya ligat menyusun pakaian di dalam almari.

“Abang ada meeting. Susulan isu hina syari‘ah minggu lepas,” jawab Haikal sambil membetulkan butang baju Melayu di hadapan cermin.

“Meeting lagi bang?” si isteri bertanya, namun nada Munirah seolah-olah mengeluh atas kesibukan suaminya yang selalu bergiat aktif dalam pertubuhan Islam.

Tiada jawapan yang terbit dari mulut Haikal. Setelah beberapa ketika, Haikal mencapai fail di atas meja, lalu beredar begitu sahaja. Di sudut hatinya, dia memanjangkan doa kepada Allah SWT supaya isterinya diberikan kekuatan seperti kekuatan Siti Hajjar tatkala Nabi Ibrahim meninggalkan si isteri untuk menyahut perintah Ilahi.

Haikal tahu, betapa perit dirasakan oleh Munirah sejak mereka mendirikan rumahtangga. Haikal yang sudah berhenti daripada kerja lamanya semata-mata untuk memenuhkan waktu sehariannya dalam menjalankan kerja-kerja da‘wah, sedikit sebanyak menyebabkan isterinya itu bermuram durja hampir setiap hujung minggu. Namun, rajuk sang isterinya itu tidak melunturkan semangat Haikal untuk menjalankan tanggungjawab bersama-sama sahabat-sahabatnya yang lain.

Setelah bunyi kereta Kancil kepunyaan Haikal semakin hilang derumannya dari pintu rumah, Munirah segera berbaring di atas katil sambil memeluk bantal sekuat hatinya. Titisan air mata Munirah membasahi bantal tersebut meninggalkan sedikit kesan warnanya yang semakin gelap. Hatinya gundah, perasaannya kucar-kacir, emosinya terumbang-ambing. Entah kenapa dirasakannya hidupnya tidak bahagia setelah mendirikan rumahtangga bersama sahabat sejemaah. Saat-saat hidupnya dihabiskan dengan mengemas rumah, memasak, mencuci pakaian, dan melayan suaminya. Namun, hanya hampir suku hidup suaminya di rumah, bakinya bergiat aktif di luar. Bagi Munirah, perkahwinan tidak semanis yang digambarkan di dalam novel-novel dan cerpen-cerpen cinta.

Munirah tersentak. Dia segera bangun dan menuju ke sisi katil seraya membuka kotak berwarna merah yang berbalut kemas. Memorinya diulang-ulang bagi mengingati cerpen yang pernah dibacanya dahulu sebelum mengahwini Haikal. Dikeluarkannya buku-buku dari kotak tersebut sehingga tangannya tiba-tiba tersentuh sehelai kertas yang berbalut kemas dengan plastik. Munirah menggenggam kemas, lalu mengalihkan kerusi dibelakangnya bagi memberi ruang untuknya membaca.

Setelah Munirah bersandar di atas kerusi tersebut, dibacanya cerpen itu dengan penuh tumpuan. Selang beberapa minit, air mata Munirah mengalir lebih deras. Helaian kertas tadi dirapatkannya ke dada, mengharap supaya ketenangan menusuk kalbunya yang dirasakannya semakin sesak.

Haikal tiba di pejabat tempatnya bekerja lewat 10 minit. Setelah beberapa ketika, mesyuarat dimulakan dengan bacaan ayat suci surah al-Fatihah. Perbincangan tersebut semakin hangat setelah sahabat-sahabat Haikal mengutarakan perkembangan terkini isu yang sedang mereka tempuhi bersama-sama sahabat-sahabat daripada pertubuhan-pertubuhan Islam yang lain.

“Tak boleh jadi macam ni. Kena gandakan lagi usaha ni,” ujar Ramli, salah seorang sahabat Haikal yang rapat.

“Masalahnya kawan-kawan rapat kita pun tak bagi support. Siap tak mau jumpa ana lagi tu,” sambung Izham pantas.

Haikal mengaru-garu dahinya yang tidak gatal sambil menaikkan sedikit kopiah yang dipakainya. Dadanya terasa sempit. Di fikirannya terbayang masa-masa bersama isteri dan anaknya pada hujung minggu itu yang sudah dirancang minggu lepas. Sambil menghela nafas panjang, Haikal bersuara,

“Weekend ni kita kena habiskan fasa pertama, tak kira macam mana pun. Nanti isu ni basi,” tegas Haikal sambil membetulkan kopiah di kepalanya.

Perbincangan menjadi semakin lanjut sehingga jam 2 pagi. Masing-masing kelihatan penat dan tidak mahu melanjutkan perbincangan di kedai kopi. Begitu juga Haikal. Esok pagi dia terpaksa memenuhi permintaan anak usrahnya yang menjemputnya untuk memberi pengisian kuliah Subuh di sebuah surau berdekatan dengan tempatnya belajar dahulu.

Keesokan harinya, Munirah bangun dari tidur dan mendapati suaminya tiada di sisi. Terasa kekosongan di hatinya akibat jadual si suami yang sentiasa penuh mengisi aktiviti-aktiviti luar. Munirah bangun dari katil, lalu bersiap untuk mengemas rumah dan membasuh pakaian. Terasa di sudut hatinya sedikit kecewa dengan sikap suaminya yang terlalu sibuk.

Jam dinding menunjukkan pukul 9 pagi. Tiba-tiba Munirah terdengar suaminya memberi salam dari pintu hadapan rumah. Segera dia membuka pintu tersebut dan menyambut beg kecil yang disandang Haikal. Haikal melabuhkan tubuhnya di atas kusyen, melepaskan penat sambil membelek catatan mesyuaratnya malam tadi. Selang beberapa ketika, Munirah menghulurkannya segelas air untuk diminum.

“Abang, malam tadi Mun jumpa hadiah yang paling bermakna dari abang kepada Mun,” senyum si isteri sambil duduk bersimpuh di hadapan suaminya itu.

Haikal meneguk air lalu meletakkan gelas tersebut di sisinya.

“Hm?” dengus Haikal memberikan isyarat supaya Munirah memberi penjelasan.

Munirah tersenyum lalu mencapai kertas berbalut plastik di sebelahnya. Kertas tersebut dihulurkan kepada suaminya yang tercinta. Haikal membalikkan kertas tersebut, lalu terdiam setelah melihat catatan di dalamnya.

“Apa maksud Mun?” tanya Haikal tanpa membaca keseluruhan isi kandungan kertas tersebut.

“Mun faham tanggungjawab abang. Mun faham abang sibuk sebab kerja-kerja da‘wah,” senyum si isteri semakin lebar.

“Lepas baca cerpen ni?” soal Haikal sambil mengangkat sedikit kertas yang digenggamnya itu.

Munirah mengangguk sedikit.

Tiba-tiba Haikal membuka plastik kertas tadi lalu mengoyak-ngoyak cerpen tersebut dengan perlahan.

Munirah terkesima. Mulutnya sedikit ternganga melihat kelibat suaminya. Hatinya luluh, seolah-olah yang dikoyak oleh suaminya itu adalah jiwa dan perasaan Munirah. Hatinya terasa sejuk, kelopak matanya bergenang air mata dengan pantas.

Haikal segera menggapai tangan isterinya.

“Mun, ini hanya cerpen Mun. Jangan terlalu mengagung-agungkannya,” sayup suara Haikal menusuk kalbu Munirah.

“Tapi abang kan yang tulis? Abang kan yang hadiahkan cerpen ni buat Mun?” suara Munirah serak basah, tersekat-sekat.

“Abang tulis bukan untuk dihurai atau dihayati sehingga realiti dunia ditolak ketepi,” sambung suaminya.

“Dulu ramai puji abang sebab berjaya menyentuh hati para penda‘wah dengan cerpen ni. Tapi apa yang jadi? Mereka hanya nampak kebahagiaan bila berumahtangga dengan orang-orang jemaah. Mereka hanya nampak kebahagiaan bila si suami atau isteri berda‘wah. Lepas kahwin? Apa yang terjadi?” soal Haikal lemah-lembut sambil mengusap-ngusap tangan si isteri tercinta.

Munirah diam seribu bahasa. Dia sedar, kesibukan suaminya berda‘wah di luar adalah disebabkan para penda‘wah kampus dahulu aktif di dalam kampus, langsung meninggalkan gerak kerja da‘wah setelah keluar dari kampus. Ilmu yang mereka peroleh di dalam usrah langsung tidak dihayati dan dimaknai dalam kehidupan seharian. Sehingga isu-isu akidah dan syari‘ah saban hari menekan jiwa para penda‘wah sepenuh masa seperti suaminya itu.

“Kebahagiaan bukan terletak dalam cerpen ni Mun, tapi ayat di bawah ni,” Haikal meletakkan jari telunjuknya di barisan terakhir cerpen tersebut. Tepat di atas terjemahan ayat al-Qur’ān.

Air mata Munirah semakin deras membasahi pipinya. Dipeluknya Haikal bagi menenangkan hatinya yang selama ini kabur tentang makna kebahagiaan berumahtangga dengan penda‘wah.

“Abang tulis cerpen ni hanya sebagai simbolik zaman ini dalam menghayati ayat al-Qur’ān ni. Tapi, ramai yang kagum dengan cerpen, langsung tidak mengendahkan apa yang dimaksudkan dengan kata-kata Allah SWT kepada hamba-hambanya,” suara Haikal semakin serak, dadanya terasa sempit.

“Tidak ada cerpen terbaik selain KalamuLlah, sayang,” kata-kata Haikal tersebut menyebabkan Munirah memeluk suaminya dengan lebih erat lagi. Tangisannya semakin kuat.

Selang beberapa lama, tangisan Munirah semakin reda. Dia sedar, realiti sebenar kehidupan bukanlah terletak kepada keindahan karangan manusia, tetapi tertakluk mutlak kepada ‘karangan’ Allah SWT. Dia sedar, hidupnya di dunia ini hanyalah pinjaman sementara, suaminya juga hanyalah pinjaman buat dirinya berkongsi rasa. Hanya Allah SWT Pemilik mutlak diri suaminya.

Munirah terasa kelegaan yang luas di dadanya. Kesyukuran memenuhi di setiap sudut hatinya dijodohkan dengan suami sehebat Haikal.

“Mak, nak buang tak sampah ni?” tanya Hakim, anak sulung Munirah dan Haikal yang berumur hampir 5 tahun selepas makan tengahari.

“Buang la. Dah penuh dah tu bakul tu,” jawab Munirah.

“Yang ni sekali?” tanya anaknya lagi sambil menarik keluar secebis kertas dari bakul tersebut.

Munirah mengangguk yakin, sambil tersenyum sedikit.

Hakim membelek-belek cebisan kertas tersebut. Dicantumkannya satu persatu mengikut susunan garis yang dikoyak. Disusunnya di atas lantai. Lalu dibacanya perkataan di atasnya satu persatu.

“Sepahit Madu?” bisik benak Hakim membaca tajuk di kertas tersebut.

Tiada ulasan: