9/30/2008
SALAM IDULFITRI BUAT SEMUA
Ana memohon seribu kemaafan dari hujung rambut hingga hujung kaki kiranya ada salah dan silap sepanjang perkenalan kita semua.
Sambutlah salam sayang dan salam idulfitri dari ana.
"ORANG PINTAR IALAH SESIAPA YANG MEMULIAKAN DIRINYASERTA MEMBUAT PERSEDIAAN UNTUK KEHIDUPAN SELEPAS MATI, SEMENTARA ORANG BODOH IALAH SESIAPA YANG MEMBIARKAN DIRINYA MENGIKUT HAWA NAFSU SERTA MENGHARAPKAN CITA-CITANYA DIMAKBULKAN ALLAH" -Hadis riwayat Tirmizi-
9/29/2008
'TETAMU YANG BERKUNJUNG - Antara Tarbiah dan Nafsu
Innalhamdalillah, nahmaduhu wa nastaiinuhu wa nastahdii wa nastaghfiruh, wa na'uuzu billahi min syururi anfusina wa min sayyiaati a'maalina, man yahdihillahu fala mudhillalah, wa man yudhlilhu fala hadiyalah, Ash-Hadu an laa Ilaha illAllah wa Ash-Hadu anna Muhammadan Rasulullah.
Apabila seluruh manusia serentak dibangkitkan dari alam kubur, di padang mahsyar yang luas, masing-amsing dalam keadaan semulajadi, seperti bayi yang baru lahir tanpa pakaianwalau seurat benang. Apakah mereka tidak rasa malu dalam keadaan tubuh dan juga kehormatan masing-masing terdedah kepada pandangan umum, lelaki dan wanita bercampur aduk bersesak-sesak.
Siti Saodah isteri Nabi ketika mendengar peristiwa dahsyat suasana manusia dibangkitkan di bumi mahsyar, lantas beliau bertanya kepada Nabi S.A.W. : "Ya Rasulullah, tidakkah manusia berasa malu apabila mereka dihimpunkan di bumi mahsyar dalam keadaan telanjang bulat tanpa berpakaian?"
Jawab Rasulullah s.a.w. : "Justeru dalam keadaan terlalu gawat menghadapi hari mahsyar itu, manusia terlupa dirinya tidak berpakaian, kerana memikirkan bagaimana hendak menyelamatka diri masing-masing."
Lalu Rasulullah s.a.w. membacakan firman Allah di dalam surah 'Abasa ayat 37:
(yang mana mafhumnya) ; "setiap orang dari mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkannya."
Imam Al-Ghazali ketika mengulas mengenai suasana hari kebangkitan itu menyatakan : "Alangkah dahsyatnya apabila kita berdepan dengan hari yang seluruh aurat kita terdedah, walaupun terdedah namun manusia tidak ambil peduli lagi, kerana manusia ketika itu dibangkitkan di bumi mahsyar dengan pelbagai cara, ada yang berjalan dengan perutnya, dan ada pula yang berdiri dengan mukanya terbalik ke bawah dan kakinya berada di atas."
Abu Hurairah berkata bahawa beliau telah mendengar suatu hari Rasulullah s.a.w. berpidato di hadapan para sahabat dengan sabdanya yang bermaksud : "Bahawa manusia di akhirat kelak dikumpul dalam tiga bentuk. Sekumpulan manusia sebaik saja dibangkitkan di bumi mahsyar sudah tersedia kenderaan untuk mereka, sementara sekumpulan lagi dibangkitkan dengan berjalan kaki, sementara yang satu kumpulan lagi manusia berjalan dengan mukanya tertungging ke tanah."
Seorang dari sahabat bertanya kepada Nabi s.a.w. : "Bagaimanakah caranya musia berjalan dengan menungging mukanya ke tanah?" Maka Nabi s.a.w. menjawab :
"Allah swt yang berkuasa mencipta hamba-Nya berjalan dengan kaki dan Allah jua berkuasa menciptakan hamba-Nya berjalan dengan mukanya ke tanah."
Di dunia inipun kita akan temui adanya makhluk yang diciptakan oleh Allah berjalan dengan perut iaitu ular, walaupun ular tidak memiliki kaki, tetapi ada kalanya ia menyusur sangat pantas sehingga sukar untuk ditangkap, walaupun yang mengejar itu adalah manusia yang mempunyai kaki.
Kata Imam Al-Ghazali, sesungguhnya manusia sering mengingkari sesuatu yang tidak pernah disaksikannya. Oleh itu mereka akan mempersoal bagaimana bagaimana pula manusia berjalan dengan mukanya ke bumi. Sekiranya makhluk ular itu tdak wujud di bumi ini, tiba-tiba ada orang berkata bahawa di kampungnya ada makhluk berjalan dengan perutnya, ketika itu tentulah orang akan mencemuh dan mustahil mereka boleh menerima kebenaran berita itu.
'Ala kullihal, alam akhirat adalah suatu alam yang di luar jangkauan manusia, sekalipun dia pernah mendengar cerita tentang kehidupan di mahsyar, namun setelah dia sendiri berada di sana, kenyataan sebenar tidak sama dengan apa yang pernah difikirkan, maka ia tidak dapat diukur dengan logik akal. Betapa dahsyatnya alam mahsyar tidak terbayang oleh manusia walaupun dengan ilmu yang dimiliki.
(RAMADHAN ; Antara Tarbiyah dan Nafsu)
Dalam penghujung Ramadhan ini, apakah kita sudah menghisab sendiri amalan kita di bulan yang penuh barakah dan kerahmatan ini sepanjang tetamu kita (Ramadhan) berkunjung? Apakah sepanjang bulan Ramadhan ini tarbiyah yang kita temui atau nafsu kita yang diuji? Sedar atau tidak, dalam masa yang sama kita juga leka dengan anugerah nafsu yang Allah Ta'ala kurnia kepada makhlukNya ini. Contonh yang paling dekat kita boleh lihat di bulan Ramadhan ini, kebanyakan (bukan semua) manusia tidak sedar bila berbuka dengan keadaan makanan yang pelbagai mereka (kita pun sama) yang seringkali menurut hawa nafsu. Apakah benar puasa kita membentuk tarbiyah dalam diri kita? Tepuk dada tanya iman (jangan tanya nafsu).
Bulan Ramadhan atau puasa sendiri adalah suatu sistem yang telah diinstitusikan oleh Allah Ta'ala berdasarkan kalimah 'KUTIBA' di dalam surah Al-baqarah ayat 183 yang merujuk kepada arahan berpuasa ; yang memberi makna 'telah ditulis' dan Allah Ta'ala tidak meletakkan kalimah 'wujiba' iaitu telah diwajibkan. Begitulah kehidupan kita hari ini penuh dengan sistem yang Allah Ta'ala telah tentukan dan gariskan.
Sebagi muhasabahnya, Ramadhan adalah tetamu yang paling istimewa yang Allah Ta'ala hadirkan kepada kita dan kita adalah tuan rumah yang istimewa andai kita menyambut kunjungannya dengan penuh hormat. Andai diri ini adalah tetamu yang bernama Ramadhan dan kalian adalah tuan rumah yang ingin kukunjungi, ku akan membawa buah tangan yang terbaik untuk kalian. TAPI sekiranya kalian tidak menyambutku dengan penuh rasa hormat, nescaya aku tidak akan meninggalkan sedikitpun buah tangan yang ku bawa pada kalian.
Akhir Kalam, apa yang baik itu datang dari Allah dan apa yang buruk itu juga datang dari Allah cuma segalanya disandarkan pada diri hamba yang dhaif lagi jahil dalam pencarian ilmu dan redhaNya.
Wassalam.
9/09/2008
SALAM RAMADHAN
Assalamualaikum W.B.T
Pertama-tama yang paling utama marilah sama-sama kita mengangkat syukur kita ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnianya dapat lagi kita menerusakn agenda perjuangan kita dalm kehidupan yang penuh barakah di bulan Ramadhan ini. Moga kita semua menjadi manusia yang bertaqwa.
Ana memohon maaf kepada pengunjung laman ini keran mungkin diri ini dianggap menyepi buat seketika. Tapi, hidup ini tidak pernah sepi dari laungan-laungan takbir pejuang, nafas mujahid masih terus segar walau apa jua rintangan serta mehnah dan tribulasi yang mendatang.
Akhir kalam, moga coretan Ramadhan kali ini membajai semangat perjuangan islam yang moga-moga terus bertapak di Jannah.
7/24/2008
HIMPUNAN PERDANA KAMPUS
Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Ilahi kerana masih lagi diberi peluang untuk mengisi masa ini dengan laman maya ini.
Di sini hendak dikongsikan betapa sebaknya dan betapa gembiranya hati ini bila anak-anak buah dapat menganjurkan himpunan solat hajat perdana awal semester di kampus yang mana dihadiri hampir 3000 hingga 4000 orang. Alhamdulillah di sini diri ini dapat mencari peluang dalam merencanakan suatu perubahan ke atas mahasiswa dan mahasiswi kampus. Betapa sebaknya bila melihat keadaan mahsiswa dan mahasiswi membanjiri majlis himpunan ini.
Inilah rahmat yang dapat dirasakan buat kali ini bila dapat memberi suatu input kepada mahasiswa dan mahisiwi dalam program ini. Niat di hati, moga himpuanan ini dapat merealisasikan suatu perubahan suasana di kampus dari semasa ke semasa.
Alhamdulillah tema yang di bawa sempena himpunan solat hajat kali ini ialah "MENCARI KEBERKATAN MERAIH KEREDHAAN" yang mana hasil idea dan pemikiran sahabat-sahabat seperjuangan di kampus dalam merealisasikan perubahan mentaliti mahasiswa dan biah di kampus ke arah mencapai keredhaan, InsyaAllah.
Semoga nikmat yang diberikan ini membuahkan lagi pemikran-pemikiran yang hebat di kalangan penggerak mahasiswa islam di kampus.
Sekadar perkongsian. wassalam.
7/01/2008
Selamat Datang Sahabat Muslimin - Muslimat Ke Semester Baru
Assalamualaikum dan salam ukhwah untuk semua muslimin muslimat yang melayari lamat ini. Alhamdulillah, ku mengangkat syukur ke hadrat Ilahi atas limpah kurniaNya hari ini kerana masih lagi diberi kelapangan untuk sama-sama bersama para sahabat meneruskan wadah perjuangan ini.
Sempena menghadapi semester baru dan sempena meneruskan lagi agenda perjuangan mahasiswa pada hari ini, diri ini ingin membawa sedikit perkongsian untuk sama-sama kita muhasabah diri kita. Kehidupan di menara gading adalah suatu kelebihan kepada mahasiswa berbanding masyarakat. Setibanya di tempat pengajian selepas berjaya menamatkan zaman persekolahan di peringkat menengah terus digelar mahasiswa.Mahasiswa dalam ertikata sebenar seorang penuntut ilmu walau dalam apa jua bidang sekalipun.Jika hendak ditakrifkan mahasiswa dalam konteks dunia moden sekarang pelbagai maksud yang boleh kita letakkan dan sandarkan kepada mahasiswa. Adalah menjadi persoalan apakah kaitan mahasiswa diantara masyarakat? Apakah pentingnya mahasiswa terhadap masyarakat? Perlukah mahasiswa dikaitkan dengan masyarakat?
Segala persoalan memang memerlukan kepada jawapan dan rasional sesuatu perkara. Tapi apakah hari ini kita melihat persoalan yang timbul dikalangan masyarakat pada hari ini samada masyarakat luar kampus ataupun masyarakat mahasiswa di kampus sendiri keseluruhannya terjawab. Merujuk kepada 'tsunami' politik, 'tsunami' masyarakat, atau apa-apa 'tsunami' sekalipun yang melanda dunia pada hari ini, kenapa masih ada mahasiswa yang masih dianggap lesu? Sama-samalah kita jana perubahan.
Sahat-sahabatku sekalian.
Mungkin sebelum ini kita pernah bersedih, pernah sesekali merasa betapa malang untung nasib kita, 'selalu sahaja tersandung ketika berjalan'. Kita senantiasa meletakkan diri kita menjadi harapan pada dua hati ibu ayah yang ingin melihatkan kejayaan anaknya. Takut benar melihat mereka kecewa apatah lagi menitiskan air mata. Seorang anak diajar untuk mengejar kesempurnaan dengan usaha, kerana bagi kita dengan berusaha pasti akan berjaya. Lalu kita lupa bahawa natijah setiap sesuatu itu bukan ditangan manusia, tetapi Dia.
Apa-apa pun sama-sama kita membawa satu perubahan pada semester baru ini. Tidak salah kita membuat post morterm tentang perjalanan wadah perjuangan masa lalu. Kesempurnaan tidak mustahil akan tercapai jika benar tindakan betul-betul terlaksana.
Sahabat-sahabatku di medan perjuangan.
Janganlah kita bersedih lagi. Segala yang belaku pada setiap masa adalah suatu bentuk tarbiyah yang memang patut kita rasai dan alami.
Tidakkah engkau lihat, bagaimana burung yang tidak berakal itu pada paginya tidak mempunyai apa-apa, sepulang sahaja pada petangnya, ia membawa makanan. Dari mana ia mendapatkan rezeki itu jika tidak ia berusaha dan yakin untuk mencarinya? Bahawa beburung yang berterbangan itu tidak ada yang menahannya kecuali Allah.
Lihat sahaja wahai sahabat, semut yang menangung beban gula 2 kali ganda berat badannya, tetap juga diusungnya dengan gigih dan sabar. Sesekali rezeki itu hilang entah kerana ada gangguan di jalanan, terlepas lagi makanan untuk rakyatnya. Tidak pula ia berundur dengan tangan kosong sahaja, tetap juga ia bertasbih dan bertahmid kepada Allah tanda syukur. Pernahkah kita melihat semut ini membunuh dirinya sendiri hanya kerana ia gagal mendapatkan makanan? SubhanaLlah! Alangkah hebatnya Allah menjadikan binatang sekecil itu untuk dijadikan perbandingan kepada manusia.
Sebuah gerakan mahasiswa pada hari ini perlu mengorak langkah yang lebih jauh kehadapan. Perlu meletakkan diri sebagai pelatih kepada 'harimau' di mana kita merupakan orang yang akan mengawal segala perancangan dan menundukkan semua keegoan musuh dihadapan.
Firman Allah yang bermaksud (al-Anfal: 60): “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya.”
Firman Allah lagi yang bermaksud (al-Taubah: 41): “Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.”
Akhir kalam, moga perkongsian ini memberi sedikit natijah buat diri kita semua. Diri ini memohon maaf atas kekurangan mesej yang disampaikan. Apa yang baik itu datang dari Allah dan apa yang buruk itu juga datang dari Allah , cuma disandarkan pada hamba yang dhaif ini.
Selamat datang sahabat-sahabatku ke semester baru. Moga wadah perjuangan ini terus bertapak dan marak dalam jiwa kita.
Wassalam.
6/26/2008
Liku-Liku Perjuangan Sentiasa Bernafas
Salam Perjuangan buat semua sahabat.
Sudah lama rasanya tidak meruskan lagi agenda syuhada di laman maya ini. Alhamdulillah, exam baru sahaja habis. Rasa kesunyian pula tanpa melakarkan wadah perjuangan di sini selama seminggu dua ini.
Alhamdulillah juga diri ini bersyukur kehadrat Ilahi kerana masih diberi ruang untuk berfikir sejenak, untuk mencari tazkirah, untuk melakar lagi corak-corak wasilah syuhada, memimpin sebuah perubahan bersama-sama dengan sahaat-sahabat lain.
Akhir kalam, moga liku-liku perjuangan ini terus bernafas dan menjadi satu wadah tarbiah dalam meneruskan agenda kita pada hari ini dan hari-hari mendatang.
Wassalam. :)
6/18/2008
PERJUANGAN masih panjang tapi KIAMAT sudah dekat
Diri ini sebagai sandaran untuk menyampaikan tazkirah @ peringatan yang takdirnya dilintaskan di benak fikiran, lantas mengolahkan suatu pengisian, moga memberi sedikit input kepada yang membaca.
Mutakhir ini kita tidak dapat lari dari pelbagai kemelut yang melanda dunia kita pada hari ini. Pelbagai petanda sebagai teguran buat manusia yang berfikir sejenak demi hari kebangkitan. Adapun hal ini jelas dan nyata dapat dilihat di negara sendiri, di negara orang dan seluruhnya. Ahad, 15 jun 2008, akhbar berita harian memaparkan satu kemelut yang melanda negara bila RM116.7j rebat dibayar pada hari pertama dan orang ramai bersesak hampir di seluruh pejabat pos di nagara ini seawal jam 7.30 pagi untuk menuntut rebat tunai yang dibayar kerajaan kepada pemilik kenderaan. Kalau dilihatkan di beberapa buah negara yang kita sedia maklum sebelum ini yang mengalami krisis makanan yang boleh dikatakan hampir seluruh rakyat di negara mereka mengalami kebuluran dimana fenomena sebegini menampakkan rakyat tersebut meronta-ronta meminta untuk diberi simpati atau pun bantuan daripada pihak-pihak berkenaan.
Hal yang sedemikian tidak mustahil boleh dikaitkan dengan fenomena yang melanda negara Malaysia bila rebat dibayar pada hari pertama dan memperlihatkan rakyat di negara ini sanggup bersesak dan beratur beramai-ramai hampirdi seluruh pejabat pos sekadar untuk mendapatkan rebat. Apakah kemelut yag melanda ini hampir sama dengan 'krisis kebuluran' yang melanda beberapa buah negara di dunia ini.
Apakah bencana ini merupakan salah satu tanda kiamat sudah hampir? Apakah perjuangan mahasiswa pada hari ini untuk membela agama, bangsa dan negara hanya perlu berada pada keadaan yang statik? Sejauh manakah perjuangan mahasiswa perlu dibangkitkan? Adakah masih perlu pada takuk yang lama?
Dunia hari ini juga memperlihatkan peperangan hanya perkara biasa dan mungkin menjadi suatu perkara yang relevan dengan zaman mutakhir ini. Tapi apakah perkara sebegini hanya dibiarkan, dibiarkan dan terus dibiarkan?
Berita harian, 18 jun 2008 mengutarakan tajuk :
- Taliban terus kemaraan
- Abdul Qadeer nafi jual pelan nuklear
Mungkin tidak perlu diceritakan berapa banyak lagi kemelut yang melanda nilai kemanusiaan pada hari ini. Tapi apakah kemelut ini hanya sekadar kemelut yang kita dapat lihat, atau apakah krisis ini hanya sekadar perlu diambil tahu ia hanya sebagai krisis, atau agenda yang sedang berlaku ini tidak perlu diagendakan balik oleh mahasiswa, atau sejauh manakah kita semua mahu bangkit? Tepuk dada, nilailah dengan iman dan taqwa.
Akhir kalam, diri ini hanya membawa suatu suatu pandangan untuk dikongsi. Apa-apapun perkongsian ini memerlukan lagi pandangan-pandangan lain yang lebih mantap untuk sama-sama membawa arus kebangkitan.
wassalam.