10/12/2010

AL-KAUTHAR


سورة الكوثر
SURAH AL-KAUTHAR
Surah Ni’mat Yang Banyak
Surah (108) - Makkiyah - 3 ayat

بِسْمِ الّلهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
Dengan nama Allah Yang Maha Penyayang dan Maha Pengasih.

( إِنَّا َأعْ َ طيْنَاكَ الْ َ كوَْثرَ ( 1
1. Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai
Muhammad) ni'mat yang melimpah-ruah.

( َفصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ ( 2
2. Kerana itu dirikanlah solah dan berkorbanlah dengan ikhlas kerana
Tuhanmu.

( إِنَّ شَانَِئكَ هُوَ الَْأبْتَرُ ( 3
3. Sesungguhnya orang yang benci kepada engkau dialah orang yang putus
keturunan.


Surah ini dihadapkan kepada Rasulullah s.a.w. sama seperti Surah Ad-Duha dan Surah al-Inshirah. Dalam surah ini Allah hiburkan Rasul-Nya dan menjanjikannya dengan ni'mat kebaikan yang limpah dan mengancamkan musuhnya dengan mala-petaka keputusan keturunan dan mengarahkannya ke jalan bersyukur. Kerana itu surah ini merupakan satu gambaran dari kehidupan da'wah dan kehidupan penda'wah pada zaman permulaan Islam
di Makkah, iaitu satu gambaran dari angkara dan gangguan-gangguan yang dihadapi Nabi s.a.w. dan da'wah yang disampaikannya, juga satu gambaran dari pemeliharaan dan naungan Allah terhadap hamba-Nya dan sekumpulan para mu'min yang kecil. Allah meneguhkan hati Rasul-Nya, menenangkan fikirannya memberi janji yang baik kepadanya dan mengancamkan
musuhnya dengan mala-petaka.

Begitu juga surah ini menggambarkan hakikat hidayah, ni'mat kebajikan dan keimanan yang sifat-sifatnya ialah jenuh melimpah-ruah dan berlanjutan dan menggambarkan hakikat kesesatan, kejahatan dan kekufuran yang sifatnya ialah remeh, tersorok dan terputus walaupun orang-orang yang lalai mempunyai tanggapan yang berlainan dari itu. Tersebut dalam hadith-hadith bahawa tokoh-tokoh Quraysh yang biadab selalu mengganggu Rasulullah s.a.w. dan da'wahnya dengan berbagai-bagai tipu daya, sendaan dan ejekan untuk menjauhkan orang ramai dari mendengar da'wahnya yang benar yang dibawa dari Allah. Di antara mereka al-'As ibn Wa'il, 'Aqabah ibn Abi Mu'ait, Abu Lahab, Abu Jahal dan lain-lain. Mereka mencemuhkan Rasulullah s.a.w. sebagai manusia yang putus keturunan, kerana semua anak lelakinya wafat. Kata salah seorang mereka: "Biarkannya, kerana ia akan mati tanpa meninggalkan seorang pun anak lelaki dan perjuangannya tak lama akan berakhir begitu sahaja."

Tipu daya yang kecil ini mempunyai kesannya dalam masyarakat yang memang berbangga-bangga dengan adanya anak lelaki yang ramai. Tikaman ini digunakan oleh musuh-musuh Rasulullah s.a.w. yang benci kepadanya. Dan mungkin tikaman ini telah mengguriskan hati beliau dan mendukacitakannya, kerana itulah turunnya surah ini untuk menenang dan menghiburkan hatinya dan untuk menerangkan hakikat ni'mat kebajikan yang kekal berterusan yang telah dipilih oleh Allah untuknya dan menerangkan hakikat keputusan dan kepupusan yang disediakan untuk musuh-musuhnya.


( إِنَّا َأعْ َ طيْنَاكَ الْ َ كوَْثرَ ( 1
1. Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai
Muhammad) ni'mat yang melimpah-ruah.

Maksudnya Kami kurniakan kepadamu ni'mat-ni'mat kebajikan yang banyak dan melimpah-limpah tidak tersekat dan tidak terputus iaitu bertentangan dengan kempen-kempen yang dilancarkan oleh tokoh-tokoh Quraysh yang biadab itu. Bagi siapa yang ingin memeriksa ni'mat kebajikan yang melimpah-ruah dikurniakan Allah kepada Rasul-Nya ia akan menemuinya pada segala aspek yang difikirkan olehnya iaitu ia akan menemuinya pada ni'mat nubuwwah dan ni'mat hubungannya dengan Allah yang Maha Besar, kerana orang yang telah menemui Allah tidak akan kehilangan sesuatu apa. Ia akan menemuinya pada ni'mat al-Qur'an yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w., kerana satu surah dari al-Qur'anmerupakan satu ni'mat kebajikan yang melimpah-ruah tidak berkesudahan.

Ia akan menemuinya pada ni'mat al-mala'ul a'la (para Malaikat yang tertinggi) yang sentiasa mendoakan rahmat ke atas Rasulullah s.a.w. dan mendoakan rahmat ke atas orang-orang yang mendoakannya. Nama Rasulullah s.a.w. sentiasa berkembar dengan nama Allah baik di bumi mahupun di langit. Ia akan menemuinya pada ni'mat sunnah Rasulullah s.a.w. yang kekal berterusan sepanjang zaman di merata pelosok bumi. Berjuta-juta manusia bersilih ganti menurut sunnahnya. Berjuta-juta lidah dan bibir tak berhenti-henti menyeru namanya. Berjuta-juta hati sentiasa cinta akan sirahnya dan sentiasa mengingatinya sampai hari Qiamat.
Ia akan menemuinya pada ni'mat kebajikan yang banyak yang melimpahi umat manusia dari seluruh generasi dengan sebab da'wahnya sama ada manusia-manusia yang mengenal ni'mat kebajikan itu dan beriman dengannya atau manusia-manusia yang tidak mengenalnya tetapi turut dilimpahi ni'mat ke atas mereka. Ia akan menemuinya pada ni'mat-ni'mat kebajikan dalam berbagai-bagai bentuk dan rupa yang tidak terhitung banyaknya. Sebarang usaha untuk menghitungkan ni'mat-ni'mat Allah merupakan semacam usaha hendak memperkecil-kecilkannya.

Ni'mat al-kauthar yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w. adalah ni'mat yang melimpah-ruah tidak terhingga, tidak terkira dan tidak terbatas. Oleh sebab itu ayat ini ditinggalkan begitu tanpa diberi huraian yang tertentu. Ia meliputi segala kebajikan yang berkembang subur. Terdapat banyak hadith dari berbagai-bagai saluran yang menerangkan bahawa al-Kauthar itu ialah sebuah sungai di dalam syurga yang dikurniakan kepada Rasulullah s.a.w., tetapi menurut Ibn 'Abbas sungai itu merupakan salah satu ni'mat daripada ni'mat-ni'mat kebajikan yang melimpah-ruah yang dikurniakan kepada Rasulullah s.a.w. dan pendapat ini amat munasabah dengan keterangan ayat al-Qur'an.


( َفصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ ( 2
2. Kerana itu dirikanlah solah dan berkorbanlah dengan ikhlas kerana
Tuhanmu.

Setelah menerangkan ni'mat yang melimpah-ruah yang bertentangan dengan kempen-kempen orang-orang kafir itu Allah memerintah Rasul-Nya s.a.w. supaya mensyukuri ni'mat itu dengan kewajipannya yang pertama, iaitu kewajipan melahirkan keikhlasan dan pemusatan hati kepada Allah dalam amal ibadat dan tujuannya dalam mengerjakan solat dan menyembelihkan binatang korban dengan ikhlas kerana Allah tanpa menghiraukan kesyirikan orang-orang musyrik dan tanpa menyertai upacara ibadat mereka mengikuti perbuatan mereka yang menyebut-nyebut lain dari nama Allah ketika menyembelih korban-korban mereka. Keterangan yang berulang-ulang supaya disebutkan nama Allah sahaja ketika disembelih binatang-binatang korban dan diharamkan binatang-binatang sembelihan yang disebut nama lain dari nama Allah menunjukkan betapa besarnya perhatian agama Islam dalam usaha membersihkan seluruh kehidupan dari kesan-kesan syirik bukan hanya sekadar membersihkan fikiran dan hati sahaja. Islam adalah agama keesaan dalam erti katanya yang sebenar dan agama Tauhid yang bersih dan jelas, kerana itu ia memburu dan menyerang syirik dalam segala bentuk rupanya dan di mana-mana sahaja sama ada dalam hati, dalam 'ibadat dan dalam 'adat resam kehidupan. Kehidupan lahir dan batin ini merupakan satu kesatuan dan Islam melayani kehidupan sebagai satu kulli/kesemestaan yang tidak berbelahbahagi dan membersihkannya dari segala noda syirik dan membawa kehidupan ini tawajjuh kepada Allah dalam bentuknya yang bersih dan jelas sebagaimana yang kita dapat lihat dalam masalah binatang-binatang sembelihan dan lain-lainnya dari syi'ar-syi'ar 'ibadat dan tradisi-tradisi kehidupan.


( إِنَّ شَانَِئكَ هُوَ الَْأبْتَرُ ( 3
3. Sesungguhnya orang yang benci kepada engkau dialah orang yang putus
keturunan.

Dalam ayat pertama Allah menerangkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bukanlah seorang yang terputus, tetapi seorang yang dikurniakan ni'mat kebajikan yang melimpah-ruah dan berterusan. Dalam ayat yang akhir ini pula Allah menjelaskan bahawa orang yang terputus itu bukannya Nabi Muhammad s.a.w., tetapi orang-orang yang memusuhi dan membencinya dan janji Allah itu amat benar kerana sebutan nama mereka telah terputus, sedangkan Nabi Muhammad s.a.w. terus disebut dan disanjung tinggi.

Pada hari ini kita dapat saksikan kebenaran Firman Allah yang Mulia ini dalam gambaran (kemasyhuran namanya) yang gemilang dan amat luas tidak pernah disaksikan oleh orang-orang zaman dahulu yang telah mendengar nama beliau. Keimanan, kebenaran dan kebajikan tidak mungkin terputus. Ia akan menghulurkan dahan-dahan dan cabang-cabangnya dan menunjangkan akar umbinya jauh ke dalam. Yang terputus ialah kekufuran, kebatilan dan kejahatan biarpun bagaimana ia membesar dan kuat. Ukuran-ukuran Allah berlainan dari ukuran-ukuran manusia, tetapi manusia sahaja yang terkeliru dan tertipu apabila mereka menyangka bahawa ukuran-ukuran merekalah yang menentukan hakikat-hakikat segala perkara. Di hadapan kita terpampang contoh yang diterangkan dalam ayat ini sebagai satu contoh yang jelas dan abadi. Di manakah tokoh-tokoh Quraysh yang mengejek Nabi Muhammad s.a.w. dengan ejekan-ejekan yang hina dan menarik hati orang ramai? Ketika itu mereka menyangka bahawa mereka telah berjaya menghancurkan Nabi Muhammad s.a.w. dan menyekat jalan da'wahnya, di mana mereka sekarang? Di mana nama-nama mereka dan kesan-kesan peninggalan mereka dibandingkan dengan ni'mat-ni'mat kebajikan yang melimpah-ruah yang dikurniakan kepada Rasulullah yang dicap mereka sebagai manusia yang terputus keturunannya itu?

Da'wah kepada Allah, kepada kebenaran dan kepada kebajikan tidak mungkin terputus. Dan penda'wahnya juga tidak terputus. Bagaimana ia mungkin terputus, kerana ia sentiasa mempunyai pertalian yang kukuh dengan Allah yang Maha Hidup, Maha Kekal, Azali dan Abadi. Hanya kekufuran, kebatilan dan kejahatan sahaja yang terputus bersama pejuangnya walaupun dalam setengah-setengah ketika ia kelihatan panjang umur dan akar-akarnya menunjang jauh.

Amatlah benar Firman Allah yang Maha Agung dan amatlah bohong tanggapan kaum Musyrikin yang melakukan tipu daya yang jahat itu.